Sorting by

×

SEMANGAT HIJRAH PEMANGKIN BUDAYA KERJA WARGA CMI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 26 Jun – Semangat hijrah bukan sekadar mengimbau perjalanan agung Rasulullah SAW, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang lebih berintegriti, beramanah dan berakhlak dalam sesebuah organisasi.

Justeru, Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) mengambil inisiatif menganjurkan Program Ceramah Perdana bersama CMI Infra sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H bertajuk ‘Membentuk Warga Kerja Berakhlak Tinggi’ sebagai platform menyemarakkan penghayatan nilai-nilai hijrah dalam kalangan warga kerjanya.

Pengurus Besar CMI Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, program itu bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, malah mengajak warga kerja mengambil iktibar daripada pengorbanan dan perjuangan Baginda untuk diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas seharian.

Menurutnya, nilai-nilai terkandung dalam peristiwa hijrah perlu dijadikan inspirasi kepada setiap penjawat awam dan kakitangan agar sentiasa berusaha melakukan perubahan ke arah lebih baik demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Kita mahu menjadikan semangat hijrah ini sebagai pemangkin untuk membentuk budaya kerja lebih baik dalam kalangan penjawat awam, khususnya warga CMI, supaya mereka lebih bersedia mendepani cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ceramah Perdana berkenaan yang disampaikan oleh Ustaz Syamsul Debat di Auditorium Kompleks CMI, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata CMI akan terus menganjurkan pelbagai program berbentuk pendidikan, ceramah, taklimat kesedaran dan pembangunan modal insan bagi memperkukuh hubungan organisasi dengan masyarakat serta meningkatkan pembangunan sahsiah warga kerjanya.

“Saya mengajak seluruh warga kerja menghayati kepentingan akhlak mulia, amanah, integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab, sekali gus memperkukuh sahsiah diri serta membentuk budaya kerja yang cemerlang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post PRESTASI SEMUA PBT DI MELAKA PADA TAHAP TERBAIK
Next post WRUR RIM: MPJ PRIHATIN BAIK PULIH LIMA RUMAH UZUR