Sorting by

×

WRUR RIM: MPJ PRIHATIN BAIK PULIH LIMA RUMAH UZUR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

RIM 26 Jun – Sebanyak lima rumah uzur telah dinaik taraf dan dibaik pulih Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan kos RM 100,000 menerusi Program MPJ Prihatin sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, kos yang diperuntukkan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu memberi tumpuan kepada rumah yang mengalami tahap kerosakan yang teruk dan pemiliknya dalam kalangan B40.

Katanya, program itu memberi tumpuan kepada pemilik rumah yang memerlukan dengan setiap kediaman diperuntukkan sehingga RM20,000 bagi melaksanakan kerja baik pulih mengikut tahap kerosakan yang dikenal pasti.

“Antara kerja yang dilaksanakan termasuk menggantikan bumbung dan struktur kekuda bumbung yang telah rosak atau reput bagi memastikan kediaman penerima lebih selamat serta selesa didiami.

“Peruntukan maksimum bagi setiap rumah ialah RM20,000, namun bentuk bantuan bergantung kepada hasil penilaian pasukan teknikal MPJ.

“Ada rumah hanya memerlukan pembaikan bumbung, manakala ada juga yang memerlukan kerja-kerja pembaikan lain mengikut keperluan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Program Ziarah MPJ Prihatin di Taman Sempang Kerayong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata, program MPJ Prihatin itu bukan sekadar membantu membaik pulih kediaman, malah turut menyantuni penerima dengan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban mereka.

Tambahnya, setiap keluarga yang menerima bantuan MPJ Prihatin itu turut menerima satu set barangan elektrik dan kit makanan yang disumbangkan MPJ dan Japerun Rim bagi memberikan keselesaan penghuni selepas rumah siap dibaik pulih.

“MPJ Prihatin ini membuktikan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan masyarakat dalam memastikan golongan yang memerlukan terus dibela.

“Menerusi baik pulih rumah ini kita harap bantuan ini bukan sahaja meringankan beban penerima malah memberi mereka peluang menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post SEMANGAT HIJRAH PEMANGKIN BUDAYA KERJA WARGA CMI
Next post 7 DEKAD, KELAB BELL BELIA TAMIL TERUS BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT