
MPHTJ PERKETAT SYARAT CCC, PEMAJU WAJIB GUNA POKOK TEMPATAN
BEMBAN 25 Jun – Semua pemaju perumahan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diwajibkan menggunakan spesies pokok tempatan dalam projek landskap sebagai syarat mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, ketetapan itu dilaksanakan bagi memastikan penggunaan spesies pokok yang lebih sesuai dengan iklim negara ini selain memelihara biodiversiti tempatan.
Katanya, langkah ini telah mula digerakkan berpandukan Garis Panduan Landskap Negeri yang mengandungi kira-kira lebih 200 spesies pokok tempatan sebagai rujukan utama pemaju.
“Sebelum ini banyak pokok yang digunakan dibawa dari luar negara sedangkan kita mempunyai pelbagai spesies tempatan yang lebih sesuai dengan cuaca Malaysia.
“Jika pemaju tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, CCC tidak akan diberikan sehingga syarat itu dipenuhi,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bulan Jun 2026 dan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Anjung Gapam yang disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Taman Rekreasi Anjung Gapam, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Sapiah turut memaklumkan Taman Rekreasi Anjung Gapam turut menampilkan konsep landskap hijau dengan penanaman sebanyak 954 pokok daripada pelbagai spesies tempatan dalam kawasan seluas 11.33 hektar.
Jelasnya, penggunaan pokok tempatan dipilih kerana lebih sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini selain mengurangkan kos penyelenggaraan dalam jangka panjang.
“Pokok-pokok tempatan lebih tahan dengan keadaan hujan dan panas di Malaysia sekali gus menjadikan taman ini lebih mampan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


