Sorting by

×

UMBAI JADI TARIKAN PELANCONGAN LUAR BANDAR BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERKAM 5 Julai – Umbai diangkat sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi masyarakat setempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu akan direalisasikan menerusi projek pembangunan pelancongan bernilai RM18 juta yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan berkenaan.

Katanya, Umbai tidak seharusnya hanya dikenali kerana keindahan alam semula jadi dan makanan lautnya, sebaliknya berpotensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf antarabangsa.

“Kita sedang melakar satu lagi lembaran baharu untuk Serkam. Dengan adanya produk pelancongan baharu ini nanti, ia dapat menjana pendapatan usahawan tempatan dan menggerakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Pantai Siring 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Pantai Siring, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, setiap projek yang dilaksanakan bukan bertujuan mengejar angka semata-mata, sebaliknya memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Semua yang saya sebutkan ini bukan untuk kita berbangga dengan angka. Angka hanyalah ukuran, yang lebih penting ialah kesannya kepada kehidupan rakyat.

“Sebab itulah sebanyak enam lagi projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM633,000 sedang dan akan terus dilaksanakan di DUN Serkam sebagai bukti agenda pembangunan Kerajaan Negeri tidak pernah terhenti.

“Insya-Allah, selagi rakyat meletakkan kepercayaan kepada kami, selagi itulah amanah ini akan dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post PROJEK PEMBANGUNAN UBAH WAJAH DUN SERKAM
Next post LEBIH 300 PROJEK BERNILAI RM40 JUTA RANCAKKAN PEMBANGUNAN DUN SERKAM