Sorting by

×

ANAK MUDA HINGGA WARGA EMAS BEMBAN TERIMA NIKMAT JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BEMBAN 9 Julai – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang turun ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban memberi makna amat besar buat rakyat di kawasan itu apabila menerima pelbagai limpahan nikmat menerusi bantuan dan sumbangan.

Antara yang menerima impak daripada siri jelajah itu adalah golongan pelajar, warga emas, wanita, penjaja serta rumah-rumah ibadat di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Bemban merupakan DUN kedua bagi siri jelajah itu, di mana, ia bukan sekadar medan turun padang bagi melihat aduan-aduan yang pernah disalurkan rakyat dalam sudut pembangunan, bahkan turut mengambil kira keperluan masyarakat berbilang kaum.

Menurut beliau, antara bantuan yang disalurkan ialah sumbangan sebanyak RM3,000 kepada enam Sekolah Rendah Agama (SRA) bagi membantu memperkasa pendidikan agama di kawasan berkenaan.

“Selain itu, warga emas dan golongan wanita juga terus disantuni menerusi sumbangan RM1,000 kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pondok Kempas serta RM8,000 kepada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia.

“Sebagai tanda komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap penjaja kecil, kita turut menyediakan Dana Penjaja berjumlah RM50,000 yang akan memberi manfaat kepada 100 orang penjaja di DUN Bemban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Padang Awam Taman Maju, Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selain itu sumbangan lebih RM15,000 turut disalurkan kepada 44 rumah ibadat di seluruh DUN Bemban, melibatkan 32 surau, tujuh kuil dan lima tokong.

Katanya, di sebalik semua bantuan yang disalurkan itu bukan nilainya yang menjadi ukuran, sebaliknya ada beban rakyat yang sedang diringankan dan ada harapan yang sedang dihidupkan.

Tambah beliau, pendekatan yang dibawa menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat adalah berteraskan penyelesaian kepada isu rakyat dan bukannya untuk meraih populariti.

“Kita turun bukan untuk mencari sorakan, tetapi mencari penyelesaian. Kita hadir bukan sekadar untuk bersalam, tetapi untuk memastikan suara rakyat Bemban benar-benar diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post BANJIR LUBUK KASAU: RM800,000 DISALUR, TOK RAUF TERUS IKHTIAR NOKTAHKAN BEBAN PENDUDUK
Next post AMANAH DIBERI, TANGGUNGJAWAB DIPULANGKAN KEPADA RAKYAT