Sorting by

×

AMANAH DIBERI, TANGGUNGJAWAB DIPULANGKAN KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

BEMBAN 9 Julai – Amanah yang diberikan rakyat menjadi tunjang utama pentadbiran Kerajaan Negeri dalam merangka setiap dasar dan melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap dasar dan program yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sentiasa berpaksikan keperluan sebenar rakyat tanpa mengira latar belakang, sekali gus membuktikan komitmen membina jambatan kesejahteraan untuk semua.

Menurut beliau, pendekatan turun padang yang dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membolehkan setiap isu dan permasalahan rakyat dikenal pasti serta diselesaikan secara lebih berkesan.

“Apabila diberi amanah memimpin, tanggungjawab itu perlu dipulangkan semula kepada rakyat melalui dasar dan program yang membawa kesejahteraan.

“Sepanjang menerajui pentadbiran negeri, saya telah menjelajah ke seluruh kampung di Melaka bagi memastikan setiap pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Emas dan Penyerahan Sumbangan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pondok Kempas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop.

Menurut Ab Rauf, limpahan pelancong dan pembangunan yang dinikmati Melaka hari ini merupakan hasil daripada perancangan teliti Kerajaan Negeri yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Hari ini kita dapat lihat Melaka semakin menjadi tumpuan ramai. Limpahan pelancong dan pembangunan yang berlaku adalah hasil dasar yang dirancang Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Menerusi WRUR pula, kita turun sendiri bertemu penduduk, mendengar masalah mereka dan berusaha menyelesaikannya. Itulah kerajaan yang kita bina bersama rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus menghargai jasa dan pengorbanan golongan ibu serta warga emas yang menjadi tunjang kekuatan institusi keluarga dan pembangunan negeri.

Katanya, hubungan silaturahim yang kukuh dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas kepada kemajuan dan keharmonian Negeri Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri turut memperkasakan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menerusi penyediaan pelbagai kemudahan termasuk pemberian komputer riba bagi membantu melancarkan urusan pentadbiran serta pelaksanaan program di pusat berkenaan.

Beliau berkata, usaha berterusan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan dan kemajuan yang sedang dinikmati Melaka pada hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA HINGGA WARGA EMAS BEMBAN TERIMA NIKMAT JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT