MPHTJ PERKASA BUDAYA TURUN PADANG, TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Warga kerja Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) digesa terus memperkukuhkan budaya turun padang, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta berfikir secara inovatif bagi memenuhi harapan masyarakat yang semakin meningkat.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, setiap jabatan dan unit dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memahami keperluan penduduk serta memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Menurut beliau, pendekatan mendekati rakyat secara langsung penting bagi membolehkan setiap permasalahan dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih berkesan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada seluruh warga kerja MPHTJ untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk dalam kawasan perbandaran kita. Setiap jabatan dan unit perlu sentiasa turun padang bertemu penduduk secara lebih dekat bagi menyelami permasalahan serta keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bulan Julai 2026 di Atrium Luar Kompleks Melaka Mall, di sini, baru-baru ini.

Sapiah berkata, ketua-ketua jabatan dan unit juga perlu bersikap proaktif dalam memastikan hala tuju majlis sentiasa berada pada landasan yang betul selain mematuhi tempoh masa pelaksanaan setiap perancangan yang telah ditetapkan.

Katanya, peningkatan momentum kerja dan kualiti perkhidmatan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan setiap sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai, malah melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Kita perlu sentiasa meningkatkan momentum dan kualiti perkhidmatan supaya KPI yang ditetapkan bukan sahaja dicapai, tetapi mampu dilaksanakan pada tahap yang lebih tinggi. Dalam masa sama, warga kerja perlu berubah secara inovatif dan kreatif serta menyelesaikan isu penduduk melalui pemikiran di luar kotak,” katanya.

Menurutnya, warga kerja MPHTJ perlu memainkan peranan sebagai pemacu perubahan dalam agenda transformasi perbandaran bagi memastikan perkhidmatan awam terus relevan dengan keperluan semasa.

Tambah beliau, setiap warga kerja juga perlu membudayakan peranan sebagai pemikir, perancang dan pelaksana dalam memastikan agenda pihak berkuasa tempatan dapat direalisasikan serta memenuhi harapan masyarakat.

“Perkhidmatan awam hari ini tidak boleh lagi dilaksanakan seperti biasa. Masyarakat semakin bijak menilai dan mengharapkan perkhidmatan yang terbaik. Justeru, kita perlu terus membudayakan perkhidmatan yang dekat dengan rakyat selaras dengan agenda Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post SAMB LAKSANA PROJEK ‘WASTEWATER TREATMENT PLANT’, PASTIKAN BEKALAN CUKUP HINGGA 2035