
PENANTIAN LEBIH SEDEKAD BERAKHIR, DEWAN TAMAN KRUBONG PERDANA BAKAL DIBINA
PAYA RUMPUT 27 Julai – Penantian lebih sedekad penduduk di Taman Krubong Perdana untuk memiliki sebuah dewan terbuka bakal berakhir apabila projek pembinaan kemudahan tersebut dijadualkan akan bermula awal bulan hadapan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, projek Dewan Terbuka Taman Krubong Perdana, berkenaan dijangka akan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan sebelum dapat digunakan oleh penduduk.
Shadan berkata, pelaksanaan projek tersebut dijangka menelan belanja berjumlah hampir RM990,000 dan peruntukan tersebut diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Peruntukan pembinaan dewan ini diterima daripada KPKT menerusi MBMB dan kami sudah melaksanakan proses perolehan selain kontraktor juga sudah dilantik.
“Kita jangka dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi pelaksanaan projek akan dimulakan dan dijangkakan akan siap dalam tempoh enam bulan. Bermakna dewan ini siap sepenuhnya pada awal Januari 2027,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pada Taklimat MBMB Dan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Dewan Terbuka Taman Krubong Perdana, Bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Jabatan.
Menurut Shadan, apabila siap kelak dewan terbuka itu akan memberikan keselesaan kepada komuniti setempat khususnya bagi menganjurkan pelbagai aktiviti serta program kemasyarakatan.
“Antara komponen yang terdapat dalam reka bentuk dewan ini adalah pentas serbaguna, dua unit gelanggang sepak takraw, bilik mesyuarat serta kemudahan asas seperti tandas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


