
HEBAT DENGAR SUARA RAKYAT PAYA RUMPUT, PERMUDAH PENYELESAIAN ADUAN
PAYA RUMPUT 27 Julai – Isu banjir dan longkang tersumbat menjadi antara aduan paling banyak diterima pada Program Hari Exco Bertemu Rakyat Negeri Melaka (HEBAT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sebahagian besar aduan yang diterima di bawah portfolionya melibatkan isu infrastruktur yang memerlukan tindakan mengikut keutamaan sama ada penyelesaian segera, jangka sederhana atau jangka panjang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, Program HEBAT menjadi platform penting bagi rakyat menyampaikan sendiri permasalahan kepada Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan supaya tindakan dapat diambil dengan lebih pantas serta berkesan.
“Hampir semua Exco hadir mendengar sendiri permasalahan rakyat mengikut portfolio masing-masing.
“Bagi portfolio saya, agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), PLANMalaysia, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah turut berada di lokasi bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program HEBAT sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Mengulas lanjut, Rais berkata, aduan yang boleh diselesaikan segera akan terus diambil tindakan, manakala isu yang memerlukan kajian serta perancangan lebih menyeluruh akan disusun mengikut keutamaan.
Sehingga program berakhir, seramai 127 pengunjung telah mendaftar untuk mendapatkan perkhidmatan menerusi HEBAT DUN Paya Rumput, dengan 74 aduan direkodkan membabitkan pelbagai isu di bawah bidang kuasa agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

