
859 KETUA ISI RUMAH TERJEJAS BANJIR TERIMA BANTUAN
PAYA RUMPUT 27 Julai – Seramai 859 ketua isi rumah terjejas akibat banjir kilat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menerima bantuan bencana daripada Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan keseluruhan berjumlah RM257,700 disalurkan menerusi Tabung Bencana Negeri adalah bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.
Katanya, banjir kilat pada 11 Julai lalu menjejaskan penduduk di 800 kediaman di Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk dan Kampung Tanjung Minyak.
“Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM300 kepada setiap isi Rumah yang layak ia bagi meringankan beban yang sedang ditanggung.
“Selain itu, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga akan memberikan rebat bil air percuma bagi bil bulan Julai 2026 kepada semua keluarga terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Banjir Bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Jabatan.
Menurut Ketua Menteri, sebanyak 1,000 unit tilam turut akan diagihkan kepada keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir kilat ini.
“Agihan tilam akan diselaraskan oleh Japerun Paya Rumput bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.
“Sumbangan ini mungkin tidaklah sebesar kerugian dan kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh mangsa yang terjejas namun diharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dihadapi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


