
LEBIH 5,000 MERIAHKAN MALAM KEBUDAYAAN DUA JIWA SATU HATI
SUNGAI UDANG 1 Ogos – Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Malam Persembahan Kebudayaan sempena Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri 2026 diPavilion Kem Terendak, semalam.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz.
Turur hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras Japerun Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Sani S Omar; Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Markas Angkaran Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Panglima 10 Bridged Para Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib serta kenamaan lain.
Orang ramai memenuhi ruang pavilion tersebut sejak jam 6 petang bagi menyaksikan pelbagai persembahan yang menjadi antara acara tumpuan pada program itu.
Penganjuran malam kebudayaan itu menjadi antara pengisian utama kejohanan berkenaan yang bukan sahaja mengangkat semangat kesukanan, malah memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan peserta badan beruniform, penjawat awam dan masyarakat menerusi platform seni serta budaya di Negeri Melaka.
Suasana bertambah meriah apabila persembahan kebudayaan yang mengetengahkan keunikan warisan tempatan membuka tirai acara sebelum diteruskan dengan persembahan artis jemputan yang berjaya memukau ribuan penonton sehingga lewat malam.
Kumpulan XPDC turut menggegarkan pentas menerusi rangkaian lagu ikonik yang membangkitkan nostalgia, manakala penyanyi Asmidar melengkapkan malam penuh warna-warni itu dengan persembahan bertenaga yang mendapat sorakan gemuruh daripada para penonton.
Kemunculan legenda rock tanah air, Amy Search, pada penghujung acara itu nyata mencuri tumpuan apabila menyampaikan beberapa lagu malar segar yang menghangatkan suasana, dengan pengunjung sama-sama menyanyi dan mengiringi setiap persembahan yang dipersembahkan.
Penganjuran Malam Persembahan Kebudayaan itu sekali lagi memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjadikan setiap program berskala besar sebagai platform menyatukan rakyat pelbagai latar belakang, sekali gus menyemarakkan semangat ‘Dua Jiwa Satu Hati’ melalui gabungan sukan, seni dan kebudayaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


