
MBMB RANGKA PROGRAM BULANAN HIDUPKAN SEMULA PASAR BESAR MELAKA
PENGKALAN BATU 4 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang menyelaras pelaksanaan program khas berkonsepkan Jualan Rahmah dan persembahan kebudayaan secara bulanan di Pasar Besar MBMB di Bachang sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung bermula September ini.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Peniaga Pasar Besar MBMB serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi di pasar berkenaan.
Menurut beliau, cadangan itu susulan beberapa perkara yang dibangkitkan pihak persatuan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika lawatan ke Pasar Besar Melaka, baru-baru ini.
“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri memahami permasalahan yang ada di pasar ini. Jadi insya-Allah MBMB akan cuba menyelaras usaha untuk mempromosikan pasar ini dengan mengadakan satu program seolah-olah seperti Jualan Rahmah yang melibatkan semua peniaga.
“Kita akan cuba bincang dan selaraskan seawal September nanti dan program ini boleh dijadikan sebagai acara bulanan sempena Bila Larut Malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata selain Jualan Rahmah, program itu turut dicadang diserikan dengan persembahan kebudayaan bagi mewujudkan suasana lebih meriah sekali gus menjadi tarikan kepada orang ramai.
Katanya, penganjuran program berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke pasar, malah membuka peluang kepada hampir 300 peniaga untuk menikmati limpahan pelanggan.
“Apabila ada Jualan Rahmah, kita boleh adakan juga sedikit persembahan kebudayaan. Saya lihat ia dapat membantu mempromosikan pasar ini dan menggalakkan lebih ramai orang datang membeli-belah di sini.
“Kita faham keadaan pasar sekarang sedikit terkesan dengan kewujudan lokasi-lokasi jualan lain termasuk kompleks perniagaan yang beroperasi pada waktu malam. Sebab itu kita cuba aturkan program ini secara berkala,” katanya.
Beliau berkata, MBMB kini sedang mengadakan perbincangan bersama KPDN dan Persatuan Peniaga Pasar Besar Melaka bagi memuktamadkan pelaksanaan program berkenaan.
“Ini baru masuk bulan Ogos, jadi kita ada tempoh kira-kira sebulan untuk berbincang dengan KPDN dan persatuan. Apabila semua pihak bersetuju, MBMB akan menyelaraskan pelaksanaannya.
“Kita sedang melihat kesesuaian lokasi, termasuk kemungkinan diadakan di kawasan tengah padang supaya semua hampir 300 peniaga di pasar ini dapat bersama-sama mengambil bahagian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


