
MELAKA BERSELAWAT BUKA TIRAI SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2026
KLEBANG 6 Ogos – Majlis Melaka Berselawat Sempena Merdeka pada 29 Ogos ini menjadi acara pembuka tirai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri Melaka Norena Jaafar berkata, program bermula seawal jam 6 petang itu bakal menampilkan tokoh pendakwah terkenal seperti Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf dan Habib Ali Zainal Abidin bagi memimpin majlis selawat bersama umat Islam di negeri ini.
Katanya, pengunjung akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di tapak program yang dipimpin Timbalan Mufti Melaka sebelum diteruskan dengan alunan qasidah serta selawat.
“Majlis ini bukan sekadar menjadi pembuka tirai sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 malah ia turut mengangkat nilai kerohanian dan menyatukan masyarakat melalui penghayatan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Kita menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 jemaah akan hadir memeriahkan program ini bersama kepimpinan negeri termasuk Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas sesi lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke tapak Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Klebang, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Norena berkata, pada majlis itu, Kerajaan Negeri turut menyampaikan beberapa anugerah khas termasuk Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Negeri Melaka serta pengiktirafan kepada pengurusan masjid, surau, tanah perkuburan Islam, koperasi masjid, institusi tahfiz swasta serta pemegang Sijil Pengesahan Halal terbaik.
“Pengisian kerohanian itu diharap dapat menjadi platform menyemarakkan semangat perpaduan, kesyukuran dan kecintaan kepada agama sebelum sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

