
‘YOUNG HEROES’ MELAKA CIPTA GELOMBANG BAHARU BATIK
TABOH NANING 6 Ogos – Idea kreatif kumpulan anak muda, BTQ Nation dalam memartabatkan semula fesyen batik menerusi gerakan dinamakan ‘Batique’ menambat hati juri pada program Young Heroes@Rakan Mahir: ‘Ideas Become Impact’ berlangsung di Kolej Agrosains Malaysia Melaka (UCAM), di sini, pada Ahad.
Dengan pendekatan moden, BTQ Nation terdiri daripada empat orang anak muda berhasrat menjadikan batik sebagai gaya hidup harian tanpa menghilangkan identiti dan nilai warisan yang terkandung pada seni tekstil itu.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan kumpulan berkenaan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan bersama juara dari negeri-negeri lain di Putrajaya pada September.
Program itu merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia yang dikendalikan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka bertujuan mengasah bakat serta memberi ruang kepada belia mengetengahkan idea kreatif yang mampu memberi impak kepada industri kreatif negara.
Terdahulu, sebanyak lima kumpulan berentap dalam sesi pembentangan idea masing-masing iaitu Irama Core, Fab Sisters, Cookies, Lantera Nuansa dan BTQ Nation.
Setiap kumpulan diberikan tempoh 15 minit untuk membuat pembentangan serta membentangkan idea kreatif di hadapan barisan panel juri.

Panel penilai terdiri daripada Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias; Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia JBS Melaka, Muhammad Abdul Hafidz Mohd Amin; Penerbit Rancangan RTM Negeri Sembilan, Mohamad Azizi Shahril Abd Razak Khalim; wakil Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka serta Ketua Unit Melaka TV, Mohamad Faris Haikal Mohamad Zakaria.
Program Young Heroes@Rakan Mahir menjadi platform pembangunan belia untuk mencungkil bakat, menggalakkan budaya inovasi dan melahirkan idea kreatif yang berpotensi diterjemahkan kepada projek sebenar, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan industri kreatif di negara ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

