
TUN DR. MOHD ALI BERSAMA 3,000 TETAMU HAYATI PENGISIAN FORUM PERDANA HLN 2026
PAYA RUMPUT 7 Ogos – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menghadiri Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 yang berlangsung di Pentas Utama, Stadium Hang Jebat, semalam.
Kehadiran Tun Dr. Mohd Ali menyerikan program berteraskan ilmu dan kerohanian yang menjadi antara pengisian utama HLN 2026, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menyemarakkan program pembangunan rohani seiring pembangunan landskap negara.
Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat serta barisan kenamaan lain.
Forum bermula jam 9 malam itu menghimpunkan hampir 3,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bagi mengikuti perkongsian ilmiah disampaikan dua tokoh pendakwah terkenal tanah air.
Program itu menampilkan Datuk Badli Shah Alauddin dan Imam Muda Asyraf sebagai panel jemputan manakala sesi forum dikendalikan moderator berpengalaman, Ustaz Mohd Hariri Mohd Daud.
Sepanjang forum berlangsung, para panel mengupas pelbagai isu semasa daripada perspektif Islam, selain menyentuh kepentingan memperkukuh institusi kekeluargaan, membentuk sahsiah terpuji dan memupuk nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Penganjuran Forum Perdana itu melengkapkan pelbagai pengisian sepanjang HLN 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos di Stadium Hang Jebat, melibatkan pameran landskap, demonstrasi, jualan, aktiviti pendidikan serta program kekeluargaan yang disediakan untuk pengunjung.
Sambutan HLN 2026 yang dihoskan Melaka bukan sahaja mengetengahkan kepentingan landskap sebagai pemangkin kelestarian bandar, malah turut menjadi platform memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pengisian ilmu dan kerohanian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

