HLN 2026: RUMAH TRADISIONAL, LANDSKAP KAMPUNG JADI KEUNIKAN PAVILION MPJ

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 7 Ogos – Suasana rumah tradisional Melaka yang sarat dengan elemen nostalgia dan kehidupan kampung diketengahkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menerusi hiasan Pavilion sempena Hari Landskap Negara (HLN) 2026 Peringkat Kebangsaan di perkarangan Stadium Hang Jebat.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, konsep rumah tradisional Melaka dipilih sebagai tema utama pavilion berkenaan sebelum diberikan sentuhan lebih segar dan berwarna-warni bagi menarik kehadiran pengunjung.

Menurutnya, konsep berkenaan turut diinspirasikan pasukan landskap MPJ dengan menampilkan pelbagai barangan lama serta elemen tradisional yang sinonim dengan kehidupan masyarakat kampung suatu ketika dahulu.

“Tema asal kita adalah rumah tradisional, tetapi kita cuba ketengahkan rumah tradisional yang kita anggap sebagai rumah tradisional di Melaka dan kemudian kita meriahkan lagi dengan penggunaan pelbagai warna yang diinspirasikan daripada semangat Piala Dunia, bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke pavilion ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Muhammad Zahiruddin berkata, lebih menarik, konsep landskap yang diketengahkan turut disesuaikan dengan suasana perkampungan tradisional menerusi penggunaan tumbuhan yang lazim ditemui di kawasan kampung.

“Bila rumah lama, konsep pokok dan tumbuhan ini pun kita gunakan konsep lama juga. Kalau kita lihat, pokok-pokok yang digunakan adalah pokok biasa yang terdapat di tanah kampung dan bukannya pokok moden yang biasa digunakan kerana kita mahu suasana itu benar-benar menggambarkan kehidupan kampung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep ‘landskap hidup’ turut diterapkan menerusi elemen perigi yang dilengkapi dengan ikan selain burung dan ayam bagi memberikan pengalaman lebih dekat dengan suasana kampung sebenar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI BERSAMA 3,000 TETAMU HAYATI PENGISIAN FORUM PERDANA HLN 2026
Next post HLN 2026: MPHTJ OLAH SISA CANTASAN POKOK JADI HIASAN