ZIARAH KASIH BAWA BERITA GEMBIRA UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 4 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) terbukti sebagai medium terbaik dalam mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan, sekali gus memastikan tiada yang tercicir daripada mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Negeri.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjadi agensi yang wajib turun padang bagi mendengar permasalahan rakyat.

Katanya, pendekatan itu membolehkan bantuan disalurkan secara lebih menyeluruh termasuk penyampaian bantuan segera dan pemakluman berhubung kelulusan bantuan baharu kepada klien yang layak dalam masa singkat.

“Setiap kali WRUR berlangsung, pasti ada bantuan yang kita hulurkan kepada rakyat selain turut disampaikan berita gembira mengenai kelulusan bantuan baharu kepada klien JKM yang layak.

“Sepanjang pelaksanaan WRUR, JKM masuk ke kampung-kampung bagi menyantuni penduduk memerlukan bantuan dan memastikan tiada golongan tercicir daripada mendapat perhatian kerajaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih Sempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Paya Rumput, Datuk Rais Yasin bersama isteri Datin Ernie Aidilia Karim dan Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad.

Menurutnya, setiap kali berlangsungnya WRUR di setiap DUN sekurang-kurangnya 20 kediaman akan disantuni sama ada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar mahupun ibu tunggal.

“Idea Ketua Menteri melaksanakan WRUR memberi impak yang amat menyeluruh khususnya kepada rakyar kerana melalui program ini, barisan Exco bersama agensi berkaitan dapat turun padang menyantuni masyarakat selain melihat sendiri masalah yang dihadapi mereka.

“Mungkin sebelum ini ada kampung atau kawasan yang belum sempat disantuni tetapi menerusi program ini kita dapat hadir serta melihat sendiri keperluan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post TOK RAUF HADIR BAWA SINAR BUAT WARGA PENGKALAN BATU
Next post PEMBELIAN TANAH PERKUBURAN ISLAM KAMPUNG MUSAI DIJANGKA SELESAI TIDAK LAMA LAGI