
WRUR: PAYA RUMPUT HARMONI, SEMUA KAUM DISANTUNI
PAYA RUMPUT 5 Ogos – Keharmonian masyarakat berbilang kaum terus menjadi kekuatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput apabila program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dilaksanakan dengan memastikan semua komuniti disantuni tanpa mengira latar belakang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan dan manfaat kerajaan dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat setempat.
Katanya, DUN Paya Rumput bukan hanya dihuni masyarakat Melayu, malah mempunyai hampir 30 peratus masyarakat Tionghua selain komuniti India yang turut menjadi sebahagian daripada kekuatan kawasan berkenaan.
“Di DUN Paya Rumput ini ia tidak hanya tertumpu kepada kaum Melayu sahaja, sebaliknya turut mempunyai hampir 30 peratus masyarakat Tionghua selain daripada India.
“Untuk itu, sempena WRUR ini saya berpeluang bersama-sama kira-kira 1,500 masyarakat Tionghua dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan Persatuan Wah San Keong, selain program bersama komuniti India.
“Di DUN Paya Rumput, kita tidak melihat pembangunan hanya dari sudut satu kaum sahaja, sebaliknya semua kaum perlu disantuni serta diberikan perhatian kerana keharmonian inilah yang menjadi kekuatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih Sempena WRUR DUN Paya Rumput yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad, pada Isnin.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, selain memperkukuh perpaduan, pelaksanaan WRUR turut memberi tumpuan kepada program kebajikan, pembangunan komuniti serta pendidikan yang melibatkan penduduk di kebanyakan kampung.
Katanya, pelbagai aktiviti bersama institusi pendidikan turut dilaksanakan termasuk program bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membabitkan calon Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK).
“Sepanjang berlangsungnya WRUR, kita sudah menjelajah ke banyak kampung dan sebahagian besar program yang dirancang berjaya disempurnakan.
“Namun, masih ada beberapa lagi pengisian yang akan diteruskan termasuk program bersama sekolah serta pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


