
MACAM-MACAM ADA DI HARI LANDSKAP NEGARA 2026 – KETUA MENTERI
PAYA RUMPUT 3 Ogos – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hari ini meninjau persiapan akhir menjelang penganjuran Hari Landskap Negara (HLN) 2026 bermula 6 hingga 9 Ogos ini di Stadium Hang Jebat.
Lawatan itu bagi memastikan segala aspek persiapan berada pada tahap terbaik menjelang pembukaan program berprestij peringkat kebangsaan yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri landskap serta pengunjung dari seluruh negara.
Melaka diberi penghormatan sebagai tuan rumah HLN 2026 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekali gus menjadi platform mempamerkan keindahan landskap, inovasi hijau dan komitmen negeri dalam memperkasakan agenda kelestarian alam sekitar.
Ketua Menteri berkata, penganjuran Hari Landskap Negara 2026 menawarkan pelbagai pengisian menarik merangkumi pameran, jualan, pendidikan dan aktiviti mesra keluarga yang sesuai dinikmati oleh pengunjung pelbagai peringkat usia.
Menurut beliau, antara tarikan utama ialah penyertaan 15 PBT dari seluruh negara yang akan menampilkan pavilion dan astaka kreatif menerusi pertandingan landskap selain pameran pendidikan, jualan pokok hiasan, kelengkapan landskap serta pelbagai aktiviti mesra keluarga.
“Pada 6 hingga 9 Ogos ini bertempat di Stadium Hang Jebat, kita ada satu program yang cukup hebat iaitu Hari Landskap Negara 2026.
“Semua yang suka melihat landskap yang cantik, ingin mendapatkan pokok-pokok tanaman dan hiasan untuk rumah, datanglah memeriahkan program ini.
“Macam-macam ada. Kita akan dapat melihat pavilion daripada majlis-majlis daerah seluruh negara, selain pelbagai pameran, jualan dan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga,” katanya selepas meninjau persiapan tapak penganjuran Hari Landskap Negara 2026 di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama pada lawatan itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Setiausahanya, Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penganjuran itu merupakan satu penghormatan kepada Melaka dan membuktikan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan negeri ini menjadi tuan rumah bagi program bertaraf kebangsaan.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Melaka serta pengunjung dari negeri-negeri lain hadir memeriahkan sambutan yang bertemakan Landskap Lestari Malaysia Madani dengan kemuncaknya bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Ogos ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

