
TOK RAUF TAK PERNAH TUTUP BUKU, SENTIASA IKHTIAR SELESAI MASALAH RAKYAT
AYER MOLEK 4 Ogos – Setiap isu atau permasalahan belum selesai yang direkodkan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan oleh Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa berakhirnya WRUR bukan bermakna pintu kerajaan turut tertutup dengan segala suara, aduan dan harapan rakyat ditinggalkan begitu sahaja.
Katanya, jaminan itu tidak berhenti sebagai kata-kata, sebaliknya menjadi pencetus untuk Kerajaan Negeri memperhebat gerak kerja, memperluas jangkauan bantuan dan menyantuni rakyat dengan lebih dekat serta menyeluruh.
“Daripada komitmen itulah, lahirnya Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, kali ini saya kembali ke Ayer Molek untuk meneruskan amanah serta membuktikan bahawa apa yang saya katakan dan saya pegang akan saya usahakan sebaik mungkin.
“Saya tahu dan saya juga ada terbaca komen-komen yang ditinggalkan di media sosial yang mengatakan ‘Ini dah mula turun berkempen sebab dah nak dekat pilihan raya. Tetapi saya tidak menyalahkan pandangan itu, jauh sekali mahu marah, namun, saya mahu tegaskan bahawa pendekatan turun padang dan merakyatkan pentadbiran ini bukanlah sesuatu yang baru kita mulakan di Melaka kerana hakikatnya sejak hari pertama kita mengemudi pentadbiran negeri, inilah cara kita bekerja,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Medan Selera R&R Kampung Tambak Paya, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, beliau tidak menjanjikan bahawa semua masalah dapat diselesaikan dalam sehari, namun memberikan jaminan bahawa di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) khidmat kerajaan kepada rakyat tidak akan bernoktah meskipun siri jelajah melabuhkan tirainya.
“Insya-Allah selagi amanah ini berada di atas bahu saya, selagi itulah Kerajaan Negeri akan terus turun padang, terus bekerja dan berkhidmat demi rakyat untuk rakyat. Saya berharap agar tiada seorang pun daripada keluarga besar Melaka tercicir atau terpinggir daripada perhatian kerajaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


