
TOK RAUF ZIARAH RAJA PANTUN MELAKA
PENGKALAN BATU 5 Ogos – Keadaan Maimon Othman, 76, juga dikenali sebagai Raja Pantun Melaka kini mengalami keuzuran mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Kunjungan Ketua Menteri bukan sekadar untuk menyantuni dan bertanya khabar, malah turut membawa berita gembira kepada warga emas itu apabila permohonannya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diluluskan.
Anak kepada warga emas itu Rashita Buntal, 50, meluahkan perasaan gembira kerana tahap kesihatan ibunya yang kurang baik akibat menghidap masalah darah tinggi dan beberapa penyakit lain sejak tiga tahun lalu mendapat perhatian daripada Ab Rauf.
“Alhamdulilah bantuan dihulurkan amat membantu meringankan beban kami, tidak dinafikan perbelanjaan agak tinggi kerana selain kos ubatan kami juga perlu menyediakan stoking khas untuk kegunaan ibu.
“Meskipun kehadiran Ketua Menteri tidak lama tetapi beliau amat mengambil berat dan cakna, malah kunjungan ini amat bermakna untuk kami sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Anak kelima daripada 13 beradik itu ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di Bukit Piatu, pada Selasa.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin serta Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong
Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Terdahulu, dalam kunjungan ziarah kasih itu Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai, lampin pakaian buang, kerusi roda dan kit makanan bagi kegunaan Maimon dan keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


