HLN 2026: HIASAN LANDSKAP 15 PAVILION PBT BAKAL PUKAU PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

TABOH NANING 5 Ogos – Sebanyak 15 pavilion daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bakal menjadi antara tarikan utama sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, bermula hari ini hingga Ahad.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi pavilion tersebut, PBT yang mengambil bahagian akan menyerlahkan kreativiti, bakat dan kepakaran masing-masing dalam menghasilkan reka bentuk landskap yang menarik.

“Apa yang boleh saya katakan hiasan landskap setiap pavilion ini amat menarik di mana ada yang mengetengahkan elemen alam semulajadi, selain ada menggunakan tumbuhan liar yang dihias serta diolah menjadi landskap yang cantik.

“Tidak kurang ada juga pavillion yang dilengkapi lif dan semua itu menjadi antara daya penarik untuk orang ramai, khususnya peminat landskap di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Lab Pemacuan Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Selain landskap menarik, Ketua Menteri berkata, sambutan itu juga bakal diserikan dengan pelbagai pengisian menarik untuk segenap lapisan masyarakat termasuklah jualan perhiasan rumah pada harga istimewa.

Justeru, beliau menjemput seluruh rakyat Melaka untuk memeriahkan sambutan itu dan masuk adalah percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post WARGA MELAKA HARI INI DIPERKASA KEMAHIRAN AI
Next post RAHMAD BAWA KHIDMAT KEBAJIKAN DEKATI RAKYAT AYER MOLEK