
SAADON, KHADIJAH MENITI USIA EMAS DI SYURGA IDAMAN
TELOK MAS 7 Ogos – Hasrat pasangan warga emas ini untuk melalui hari tua di kediaman lebih selesa dipermudahakan apabila menerima bantuan Program Melaka Rumahku (Bina Baharu) hasil keprihatinan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab rauf Yusoh.
Penerima bantuan Saadon Mus, 71, berkata, dia bersama isteri Khadijah Hassan, 73, sebelum ini tinggal di rumah pusaka yang uzur dengan keadaan bumbung bocor dan siling yang hampir runtuh.
“Walaupun terpaksa menunggu agak lama sebelum permohonan bantuan diluluskan, saya bersama isteri amat bersyukur kerana penantian itu akhirnya membawa sinar baharu apabila kini dapat menghuni kediaman yang lebih selesa, kemas dan selamat.
“Kami bersyukur dan lega kerana penantian untuk menghuni kediaman lebih selesa tercapai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Warga emas itu ditemui selepas Majlis Penyerahan Program Melaka Rumahku (Bina Baharu) sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Kampung Telok Mas, baru-baru ini.
Menurutnya, bantuan kediaman daripada Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan kurang berkemampuan dapat mendiami kediaman lebih selesa.
“Pastinya impian ini tidak akan tercapai tanpa komitmen dan keprihatinan wakil rakyat DUN Telok Mas, Kerajaan Negeri dan LPM.
“Bantuan ini amat besar maknanya buat kami pada usia sekarang dan hanya ucapan terima kasih yang dapat kami zahirkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


