ZIANA ZAIN, AMY SEARCH DAN ST12 GEGARKAN AMBANG MERDEKA 30 OGOS INI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 7 Ogos – Penyanyi terkenal legenda tanah air Ziana Zain dan Datuk Amy Search bakal menjadi antara tarikan utama Majlis Sambutan Ambang Merdeka 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Klebang pada malam 30 Ogos ini.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri Melaka Norena Jaafar berkata, sambutan yang bermula seawal jam 8 malam itu turut menampilkan kumpulan popular dari Indonesia ST12.

Katanya, selain persembahan artis utama program itu turut menyusun pelbagai pengisian pentas termasuk persembahan kebudayaan, tarian kanak-kanak daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong dan SK Bachang serta demonstrasi seni mempertahankan diri.

“Sambutan Ambang Merdeka juga akan menampilkan deklamasi Puisi Merdeka dan pameran motosikal klasik bagi memeriahkan lagi suasana sebelum menunggu detik 12 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api dan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas sesi lawatan Ketua Menteri ke tapak Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Klebang, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Norena berkata, pada sambutan tersebut Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran hingga 25,000 pengunjung pada malam tersebut.

“Penganjuran Majlis Sambutan Ambang Merdeka ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan masyarakat, malah menjadi medium menyemarakkan semangat patriotisme menerusi gabungan persembahan seni, budaya dan hiburan yang mencerminkan kepelbagaian rakyat.

“Jadi kita harap orang ramai boleh hadir beramai-ramai dan memeriahkan lagi majlis anjuran Kerajaan Negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1568
Kongsi :
Previous post SAADON, KHADIJAH MENITI USIA EMAS DI SYURGA IDAMAN
Next post TYT RASMI MASJID SAIDINA ABDUL RAHMAN BIN AUF