EMPAT KEUTAMAAN PBT MELAKA HADAPI BAKI 2026

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

PAYA RUMPUT 6 Ogos – Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka digesa memperkukuh pengurusan aset, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mempercepat agenda bandar pintar serta memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, teratur dan selamat dalam tempoh berbaki kurang lima bulan sebelum tirai 2026 dilabuhkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap pencapaian dan pengiktirafan yang diraih PBT tidak seharusnya menjadi alasan untuk berasa selesa, sebaliknya perlu dijadikan ruang untuk menilai semula pencapaian, mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki dan menetapkan hala tuju lebih jelas.

Beliau berkata, keutamaan pertama adalah mengoptimumkan aset sebagai pemacu hasil dan kesejahteraan rakyat, di mana setiap PBT perlu meneliti semula seluruh aset di kawasan pentadbiran masing-masing termasuk bangunan, pasar, dataran, kawasan rekreasi, medan selera, ruang awam dan aset lain yang masih belum dimanfaatkan secara optimum.

Selain itu, beliau turut meminta setiap PBT meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam aspek penguatkuasaan.

Mengambil iktibar daripada insiden operasi tangkapan haiwan terbiar yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat baru-baru ini, Ab Rauf berkata semua PBT perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa disemak dan diperkasa.

“Saya mahu semua prosedur operasi disemak dan diperkasa dari semasa ke semasa. Pastikan peralatan mencukupi, latihan dipertingkatkan, setiap operasi direkodkan dengan teliti dan semua anggota benar-benar memahami skop kuasa serta tanggungjawab masing-masing.

“Prinsip ini bukan hanya terpakai dalam operasi menangkap haiwan terbiar. Sama ada ketika menjalankan penguatkuasaan, merobohkan struktur, menyita barangan atau menguruskan penjaja, setiap tindakan hendaklah dilaksanakan dengan penuh profesionalisme.

“Sehubungan itu, berpeganglah kepada prinsip “cekap dalam tindakan, tegas dalam pendirian dan tetap berhemah dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Menurut Ketua Menteri, keutamaan ketiga adalah memacu transformasi melalui agenda bandar pintar bagi mencapai status ‘Visionary Smart City’ menjelang 2035, iaitu tahap tertinggi dalam kerangka pembangunan bandar pintar.

Jelas beliau, setiap PBT perlu mempercepatkan agenda pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan data bagi menyokong proses membuat keputusan serta menggalakkan penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan bandar.

“Keutamaan keempat adalah memperkukuh pengurusan bandar yang bersih, teratur dan selamat, selaras dengan kedudukan Melaka sebagai antara destinasi pilihan pelancong, pelabur dan masyarakat dari dalam serta luar negara.

“Daripada pintu masuk negeri, jalan utama dan kawasan pelancongan, sehinggalah ke pasar, taman awam dan kawasan kejiranan, semuanya mesti sentiasa bersih, teratur, selesa dan selamat.

“Justeru, saya mahu setiap PBT memastikan kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan landskap, kutipan sisa pepejal, penyelenggaraan kemudahan awam serta pencahayaan jalan dilaksanakan secara konsisten, mengikut jadual dan dipantau dengan rapi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post 99 PERATUS ADUAN RAKYAT SELESAI, BUKTI PBT MELAKA PANTAS BERTINDAK
Next post RUANG ‘SEPI’ JADI REZEKI RAKYAT MELAKA