
HARI INOVASI MELAKA DIANGKAT KE PENTAS KEBANGSAAN
AYER KEROH 6 Ogos – Penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka melangkah ke dimensi baharu apabila diperluaskan ke peringkat kebangsaan melalui Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M2026).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bertemakan ‘Warga Digital: Nadi Generasi Inovatif’, penganjuran itu turut menjadi platform menghimpunkan idea, bakat serta penyelesaian kreatif seluruh negara.
Katanya, penganjuran itu secara tidak langsung memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan sektor industri dalam membangunkan ekosistem inovasi yang mampan.
“Bertetapan dengan tema juga, HIK@M2026 menegaskan bahawa keupayaan menguasai teknologi dan mencipta penyelesaian baharu merupakan asas penting dalam membina masyarakat serta negara yang berdaya saing.
“Selain itu, inovasi juga bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang baharu tetapi bermaksud mencari kaedah yang lebih baik pantas dan berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M2026), di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka di Bukit Beruang, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, majlis turut dihadiri Naib Presiden, Explorasi Pemasaran, Jaringan Dan Pengurusan Pelanggan MMU, Prof TS. Dr. Lau Siong Hoe.
Menurut Ab Rauf, HIK@M2026 menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai peringkat antaranya prasekolah, sekolah rendah dan menengah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk agensi kerajaan serta pihak industri.
“Pendekatan inklusif ini membuktikan bahawa inovasi bukan milik golongan tertentu sebaliknya setiap orang mempunyai keupayaan mencipta perubahan sekiranya diberikan ruang, bimbingan dan peluang yang sewajarnya.
“Besarlah harapan saya agar HIK@M2026 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama, perkongsian ilmu dan penghasilan inovasi yang benar-benar memberi impak kepada masyarakat, industri dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


