MIHF 2026 JADI TUMPUAN, SASAR 180,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Melaka International Halal Festival (MIHF) 2026 menyasarkan kehadiran 180,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM15 juta sepanjang tiga hari penganjurannya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berikutan sambutan menggalakkan daripada usahawan dan pengunjung, selain pengisian program yang lebih banyak berbanding edisi terdahulu.

“Tahun lalu, nilai jualan direkodkan adalah sekitar RM13 juta, justeru kita optimis sasaran baharu itu mampu dicapai berdasarkan penyertaan lebih besar serta pelbagai tarikan yang disediakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, sebanyak 365 gerai jualan mengambil bahagian dalam festival kali ini yang menghimpunkan pelbagai usahawan serta produk halal dari dalam dan luar Melaka.

Katanya, selain menjadi platform jualan, MIHF turut berperanan sebagai medan pembangunan usahawan menerusi pelbagai program pengisian yang memberi nilai tambah kepada peserta.

“Sepanjang tiga hari festival ini, kita menyediakan pelbagai sesi ‘pocket talk’ merangkumi pengurusan kewangan, perniagaan, pensijilan halal serta pelbagai perkongsian ilmu yang boleh dimanfaatkan usahawan.

“Kita juga menganjurkan sesi padanan perniagaan (business matching) yang melibatkan kira-kira 12 pasaraya utama bagi membuka lebih banyak peluang pasaran kepada usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran MIHF bukan sekadar memberi ruang kepada usahawan meningkatkan jualan, malah menjadi platform memperluaskan rangkaian perniagaan, memperkukuh pengetahuan industri halal serta memperkenalkan produk tempatan kepada lebih ramai pengguna.

“Justeru itu, saya mengajak orang ramai hadir memeriahkan MIHF 2026 yang berlangsung hingga 9 Ogos (Ahad) ini bagi menikmati pelbagai aktiviti, pameran dan tawaran menarik yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post TYT RASMI MASJID SAIDINA ABDUL RAHMAN BIN AUF
Next post ‘MASJID BONGSU’ PAYA RUMPUT AKHIRI PENANTIAN LEBIH 10 TAHUN