JUALAN MURAH DI 50 MASJID MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Pelbagai barangan keperluan asas pada harga berpatutan ditawarkan menerusi Jualan Barakah Madani yang akan menjelajah ke 50 buah masjid di negeri ini.

Program itu merupakan inisiatif pemasaran komuniti oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama strategik Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Koperasi Masjid (KOGMAS).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, di samping memperkukuh ekonomi masjid dan meningkatkan pendapatan usahawan asnaf yang turut serta.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput memaklumkan, Masjid Saidina Abdul Rahman bin Auf R.A Taman Cheng Perdana dipilih sebagai lokasi pertama program jualan murah itu sebelum diteruskan di masjid lain membabitkan tiga daerah dalam negeri ini.

“Istimewanya, program jualan ini bukan hanya menghimpunkan usahawan FAMA, tetapi juga asnaf dan belia institusi pengajian tinggi.

“Program ini akan menjelajah ke 50 buah masjid dan saya percaya ia berupaya memberi manfaat besar kepada komuniti dan institusi masjid itu sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, pelancaran Jualan Barakah Madani telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Masjid Saidina Abdul Rahman bin Auf R.A Taman Cheng Perdana sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samad; Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid serta kenamaan lain.

Sementara itu, Nor Azhar memaklumkan,  penganjuran Jualan Barakah Madani berupaya memberi manfaat kepada 25,000 rakyat di negeri ini dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM1.25 juta.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja memberi akses kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah daripada pasaran, bahkan turut memperkukuh fungsi masjid sebagai hab pembangunan ekonomi komuniti.

“Mengikut perancangan, program ini akan diadakan bermula Ogos hingga November tahun ini membabitkan 17 masjid dalam daerah Melaka Tengah, 17 di daerah Alor Gajah dan 16 di daerah Jasin.

“Diharap program ini memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat melalui penjimatan kos sara hidup, memperkukuh rantaian bekalan makanan tempatan, meningkatkan pendapatan usahawan, memperluas peluang pemasaran kepada usahawan tempatan dan asnaf serta mengangkat institusi masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi komuniti yang mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post YB DI MELAKA PALING ‘SPORTING, CAKNA KESUKARAN RAKYAT
Next post JELAJAH KETUA MENTERI BAWA IKHTIAR RINGANKAN BEBAN RAKYAT