
YB DI MELAKA PALING ‘SPORTING, CAKNA KESUKARAN RAKYAT
GADEK 9 Ogos – Perkongsian netizen di ruangan komen media sosial menyifatkan Yang Berhormat (YB) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Negeri Melaka sebagai ‘sporting’ membuktikan usaha pentadbiran Kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyantuni rakyat mencapai objektif.
Meskipun mendapat komen yang amat positif Ketua Menteri berkata, beliau tidak mahu berbangga dengan mengatakan pendekatan diamalkan pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini sebagai terbaik jika dibandingkan dengan negeri lain.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, setiap negeri sebenarnya memiliki cara, kekuatan dan pendekatan masin-gmasing dalam menyantuni rakyat.
“Komen berkenaan berbunyi dalam banyak-banyak negeri, YB-YB di Melaka paling sporting…Selalu turun jumpa rakyat. Tetapi satu perkara mahu saya tegaskan, ini adalah budaya kerja kita pahatkan sejak saya diberi amanah mengemudi Negeri Melaka sejak tiga tahun lalu.
“Kita tidak hanya menunggu rakyat datang mengetuk pintu pejabat kerajaan. Sebaliknya, kita yang turun mengetuk pintu rumah rakyat dari kampung ke Taman perumahan, dari satu keluarga kepada satu keluarga.
“Semua ini bagi memastikan tiada seorang pun daripada lebih 1.05 juta rakyat Melaka tercicir daripada perhatian, khidmat dan pembelaan kerajaan,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah MeSRa Ketua Menteri Bersama Masyarakat sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di perkarangan Masjid As-Syakirin, Kampung Gadek, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Adun Gadek Datuk VP Shanmugam serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Timbalan Exco Pendidikan , Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas,Β Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin-pemimpin masyarakat DUN Gadek.
Ab Rauf berkata, atas dasar dan prinsip itu Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dilaksanakan, kemudian disusuli Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dan diteruskan dengan Jelajah Ketua Menteri Sayang kini memasuki siri ke-12 di DUN Gadek.
“Namanya mungkin berbeza, pendekatannya mungkin berbeza, tetapi semuanya bergerak di bawah satu panji yang sama iaitu Melaka Sayang Rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


