MAIM BANTU USAHAWAN DAPATKAN PENSIJILAN HALAL DI MIHF’26

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 9 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membuka ruang kepada usahawan tempatan mendapatkan bimbingan serta maklumat berkaitan proses pensijilan halal menerusi penganjuran Melaka International Halal Festival 2026 (MIHF’26).

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, festival berkenaan menjadi platform penting untuk usahawan yang masih belum memperoleh pensijilan halal mendapatkan penerangan secara terus daripada agensi berkaitan.

Menurutnya, antara agensi yang boleh dirujuk usahawan ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pusat Halal bagi mendapatkan maklumat berkaitan prosedur serta keperluan pensijilan.

“MIHF’26 ini adalah medium dan peluang kepada usahawan yang belum lagi mendapatkan pensijilan halal untuk sama-sama mempelajari bagaimana proses mendapatkan sijil halal.

“Insya-Allah kita akan bantu, terutama kepada peniaga dan usahawan yang masih belum mendapatkan pensijilan halal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Melaka Halal International Festival 2026 (MIHF’26) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, usaha memberi pendedahan berkaitan pensijilan halal penting bagi membantu usahawan meningkatkan tahap pematuhan serta keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, pensijilan halal bukan sahaja memberi nilai tambah kepada produk, malah membuka peluang kepada usahawan untuk memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing dalam industri halal.

Dalam pada itu, Shaifulfazlee berkata, MIHF’26 turut menyediakan pelbagai aktiviti, pameran dan jualan yang boleh dimanfaatkan usahawan serta orang ramai sepanjang festival berlangsung.

“Sehubungan itu, kita harap orang ramai hadir memeriahkan MIHF’26 selain mengambil peluang mendapatkan maklumat serta meneroka pelbagai peluang berkaitan industri halal,” katanya.

MIHF’26 berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos ini di MITC, dengan menghimpunkan pelbagai penggiat industri halal serta menawarkan pelbagai pengisian berkaitan produk, keusahawanan dan peluang pasaran halal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post DARI KAMPUNG PULAU, KUIH BAKAR DAK SERUL LEBAR SAYAP DI MIHF 2026
Next post YB DI MELAKA PALING ‘SPORTING, CAKNA KESUKARAN RAKYAT