
DARI KAMPUNG PULAU, KUIH BAKAR DAK SERUL LEBAR SAYAP DI MIHF 2026
AYER KEROH 9 Ogos – Hanya enam keping jualan sehari suatu ketika dahulu, kini Asrul Effendi Abd Aziz, 49, mampu memenuhi tempahan lebih 2,000 keping kuih bakar sehari pada musim cuti sekolah.
Pengusaha Dak Serul Kuih Bakar dari Tanjung Bidara ini berkata, beliau mula mengkomersialkan perniagaan itu pada 2010 selepas mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pengurus bengkel bagi memberi sepenuh tumpuan kepada perusahaan keluarga.
Resipi kuih bakar yang diusahakannya merupakan warisan turun-temurun, namun dia mengambil inisiatif melakukan pelbagai penambahbaikan bagi memenuhi cita rasa pengguna masa kini.
“Kuih bakar tradisional sebelum ini lebih manis, tetapi apabila kita mahu memasuki pasaran yang lebih luas, kita perlu mengikut kehendak pengguna.
“Saya gunakan air pandan asli tanpa pewarna dan menghasilkan variasi perisa seperti durian serta cempedak menggunakan buah sebenar,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Melaka International Halal Festival (MIHF) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Menurut Asrul, selain mengekalkan keaslian rasa, dia turut memperoleh pensijilan halal serta memperkenalkan teknologi ‘retort’ bagi memanjangkan jangka hayat produk sehingga dua tahun.
“Sebelum ini kuih bakar hanya mampu bertahan kira-kira dua hari. Dengan teknologi retort (kaedah pemprosesan dan pembungkusan makanan menggunakan suhu serta tekanan tinggi) produk boleh disimpan hingga dua tahun pada suhu yang sesuai.
“Kami juga mempunyai produk sejuk beku yang telah menjalani ujian makmal bagi memastikan kualiti dan tempoh penyimpanannya,” katanya.
Selain dipasarkan di premisnya di Kampung Pulau Masjid Tanah, kuih bakar keluarannya turut dijual di cawangan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan Meru, Klang, selain menerima tempahan dari seluruh Semenanjung menerusi platform Shopee dan TikTok.
“Penyertaan dalam MIHF 2026 menjadi peluang terbaik untuk saya memperkenalkan produk kepada lebih ramai pelanggan, selain meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap produk tempatan yang memiliki pensijilan halal.
“Saya harap melalui platform seperti MIHF, kuih bakar yang kami usahakan bukan sahaja terus mendapat tempat di pasaran tempatan, malah berpeluang menembusi pasaran antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

