MIHF 2026: 500 BAKAL PENGANTIN BERPELUANG IKUTI KURSUS KAHWIN PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Seramai 500 bakal pengantin berpeluang mengikuti kursus kahwin secara percuma menerusi inisiatif julung kali diperkenalkan MAIM Holdings Berhad sempena Melaka International Halal Festival (MIHF) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron berkata, pendaftaran bagi kursus itu dibuka bermula Jumaat hingga Ahad di reruai MAIM Holdings sepanjang penganjuran MIHF 2026, manakala kursus berkenaan dijadual berlangsung pada 5 dan 6 September depan.

“Kami menjemput rakyat Melaka, khususnya pasangan sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga supaya mengambil peluang ini dengan mendaftar segera kerana penyertaan adalah terhad kepada 500 orang sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Amirul, penganjuran kursus percuma itu adalah cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi membantu bakal pengantin membuat persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Ini merupakan kali pertama kita memperkenalkan kurusus secara percuma di MIHF. Selain memberi manfaat kepada bakal pengantin, kita juga mahu lebih ramai masyarakat hadir ke festival ini.

“Apabila mereka datang untuk mendaftar, mereka turut berpeluang melihat pelbagai pameran dan produk halal yang ditawarkan di lebih 300 reruai.

“Malah, bagi pasangan yang berhasrat memulakan perniagaan selepas berkahwin MIHF turut membuka ruang kepada mereka meneroka idea serta peluang perniagaan yang mungkin dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

MIHF 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos 2026 bermula 10 pagi hingga 10 malam menghimpunkan pelbagai pameran, jualan serta program berkaitan industri halal, keusahawanan dan pembangunan ekonomi Islam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1448
Kongsi :
Previous post 8 SYARIKAT MELAKA TERSENARAI DI BURSA MALAYSIA, 2 LAGI MENYUSUL
Next post ROSA-SINENSIS 2026, PENGIKTIRAFAN TERBESAR DIRAIH MPJ