ROSA-SINENSIS 2026, PENGIKTIRAFAN TERBESAR DIRAIH MPJ

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 8 Ogos – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengharumkan nama Melaka apabila diangkat sebagai penerima Anugerah Rosa-Sinensis Penarafan Taman Awam 2026 pada Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 Peringkat Kebangsaan Ke-27, malam tadi.

Lebih membanggakan, daripada 165 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyertai pertandingan berkenaan, MPJ berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik, sebelum dipilih sebagai penerima anugerah.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pengiktirafan berprestij itu menjadi pencapaian tertinggi diterima MPJ di peringkat kebangsaan, hasil komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan landskap dan kawasan rekreasi.

“Alhamdulillah, ini adalah satu pengiktirafan yang kami rasakan cukup tinggi di peringkat kebangsaan bagi kategori taman awam menerusi Taman Botani Parkland.

“Daripada 165 PBT yang bertanding, hanya 30 berjaya ke peringkat akhir dan alhamdulillah MPJ mewakili Negeri Melaka dipilih sebagai finalis sebelum berjaya menerima anugerah ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara Tahun 2026 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Muhammad Zahiruddin berkata, kejayaan itu bukanlah dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil perancangan jangka panjang serta usaha berterusan seluruh warga kerja MPJ.

Katanya, ia juga membuktikan pembangunan landskap dan kawasan rekreasi yang dirancang secara konsisten mampu menghasilkan impak serta pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

“Anugerah ini bukan berlaku dalam masa sehari, tetapi hasil gabungan idea, perancangan dan keringat seluruh pasukan MPJ yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ia juga lahir daripada kerjasama erat bersama rakan strategik sektor swasta yang membantu merealisasikan sasaran pembangunan landskap yang kita tetapkan,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada MPJ untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, selain memperbanyakkan pembangunan taman dan kawasan rekreasi yang memberi manfaat kepada penduduk di daerah Jasin.

“Dengan pengiktirafan ini, kita akan terus memperkukuhkan usaha untuk memastikan kawasan landskap dan rekreasi di bawah MPJ bukan sahaja cantik dan terpelihara, tetapi memberi nilai tambah serta keselesaan kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1206
Kongsi :
Previous post MIHF 2026: 500 BAKAL PENGANTIN BERPELUANG IKUTI KURSUS KAHWIN PERCUMA