PELABURAN MASUK MELAKA MESTI BUKA PELUANG KEPADA SYARIKAT, VENDOR TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 8 Ogos – Setiap pelaburan berskala besar yang masuk ke Melaka perlulah memberi limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan, termasuk membuka peluang kepada vendor untuk terlibat dalam rantaian bekalan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemasukan syarikat besar ke Melaka bukan sekadar untuk meningkatkan nilai pelaburan negeri, bahkan perlu memberi manfaat yang lebih luas kepada pemain industri tempatan.

“Matlamat kita tidak pernah terhenti setakat membawa masuk syarikat-syarikat besar ke Melaka.

“Setiap pelaburan yang dibawa masuk mesti memberi limpahan yang lebih luas kepada ekonomi negeri, membuka peluang kepada vendor dan syarikat tempatan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada RHB–Bursa Retail Corporate Day 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbankan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad; Ketua Pegawai Kawal Selia, Bursa Malaysia Berhad Julian Mahmud Hashim serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, syarikat tempatan juga perlu bersedia meningkatkan kapasiti dan memperkukuh pengurusan bagi merebut peluang yang semakin terbuka susulan perkembangan ekonomi serta kemasukan pelaburan baharu.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu melihat syarikat tempatan yang sudah mempunyai asas kukuh meningkatkan skala perniagaan dan melangkah ke tahap lebih tinggi, bukannya sekadar kekal sebagai perusahaan kecil.

“Kita bukan sekadar mahu membantu sebuah perniagaan untuk bermula, tetapi kita mahu membawa syarikat yang sudah mempunyai asas yang kukuh untuk meningkatkan skala dan melangkah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Jelas beliau, hasil daripada dasar yang jelas, perancangan yang tersusun serta gerak kerja yang konsisten, ekonomi Melaka terus berada pada landasan positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat sebanyak tiga peratus kepada 50.2 bilion ringgit pada tahun lalu, berbanding RM48.8 bilion pada 2024.

Lebih membanggakan, ujar Ab Rauf, Melaka berjaya merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM14.68 bilion pada tahun lalu, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi negeri dalam tempoh lebih dua dekad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1366
Kongsi :
Previous post ROSA-SINENSIS 2026, PENGIKTIRAFAN TERBESAR DIRAIH MPJ
Next post MIHF 2026 BUKA MATA PENGUNJUNG KENALI PRODUK HALAL