MIHF 2026 BUKA MATA PENGUNJUNG KENALI PRODUK HALAL

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Melaka International Halal Festival (MIHF) 2026 bukan sekadar menjadi lokasi membeli-belah, malah membuka ruang kepada masyarakat mengenali produk halal dengan lebih dekat sambil menyokong usahawan tempatan.

Tinjauan Melaka Hari Ini pada festival itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, mendapati rata-rata pengunjung menyifatkan penganjuran MIHF sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kefahaman mengenai konsep halal selain memperkenalkan pelbagai produk keluaran usahawan tempatan.

Bagi Nurul Ain Johar, 29, dari Ayer Keroh, festival itu memberi peluang kepada orang ramai menilai sendiri produk yang dipasarkan serta mengenali jenama tempatan yang mungkin belum pernah diketahui sebelum ini.

“Apabila datang ke festival seperti ini, kita boleh melihat sendiri produk yang ditawarkan dan mengenali mana satu produk halal serta berkualiti. Paling menarik tentunya pelbagai pilihan makanan daripada usahawan tempatan.

“Pada saya, konsep halal bukan sekadar logo, tetapi melibatkan sumber yang dibenarkan mengikut syarak serta aspek kebersihan. Sebab itu masyarakat wajar datang ke MIHF kerana banyak ilmu baharu yang boleh dipelajari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Seorang lagi pengunjung, Hayati Latif, 57, dari Jasin, berkata festival berkenaan berjaya membuka mata masyarakat mengenai kepelbagaian produk halal yang ada di pasaran.

“Program seperti ini sangat baik jika diteruskan setiap tahun kerana dapat menambah pengetahuan masyarakat. Saya datang bersama anak saudara dan sempat singgah di beberapa gerai seperti mi keledek dan air kundur.

“Saya mengetahui mengenai MIHF menerusi Facebook dan berharap lebih banyak lagi program seperti ini dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Muhammad Zulhusni Jasni, 26, dari Bukit Katil, menyifatkan MIHF sebagai platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada usahawan kecil memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.

“Saya lihat banyak produk dan makanan baharu dipamerkan di sini, malah penyertaan usahawan dari pelbagai negeri menjadikan festival ini lebih menarik kerana masing-masing membawa keunikan tersendiri.

“Program seperti ini wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi pendedahan kepada pengguna, malah membantu usahawan kecil mempromosikan produk mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post PELABURAN MASUK MELAKA MESTI BUKA PELUANG KEPADA SYARIKAT, VENDOR TEMPATAN
Next post PELABUR JEPUN, CHINA MULA INTAI PELUANG INDUSTRI HALAL MELAKA