PELABUR JEPUN, CHINA MULA INTAI PELUANG INDUSTRI HALAL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Pelabur antarabangsa termasuk dari Jepun dan China mula melihat Melaka sebagai lokasi strategik untuk mengembangkan operasi pembuatan serta perniagaan dalam industri halal.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap Melaka semakin kukuh khususnya dalam melihat potensi negeri ini sebagai hab industri halal.

Katanya, kedudukan Melaka yang strategik di tengah-tengah Semenanjung Malaysia menjadi antara kekuatan utama dalam menarik pelaburan ke negeri ini dan jaringan perhubungan yang baik selain akses mudah kepada pasaran domestik dan serantau turut memberi kelebihan kepada Melaka untuk terus mengembangkan sektor berkenaan.

“Lebih membanggakan pembangunan sektor halal Melaka turut mendapat perhatian daripada pelabur antarabangsa, termasuk dari negara luar seperti Jepun dan China.

“Ditambah pula dengan kemudahan pelabuhan serta ekosistem perindustrian yang kian berkembang dan secara tidak langsung menjadi kekuatan utama negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Melaka Halal International Festival 2026 (MIHF’26) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hasim dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawel; Pengurus Besar MAIM Holding Amirul Basirun dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, Melaka juga mempunyai persekitaran pelaburan yang stabil, tenaga kerja berpotensi serta kemudahan pendidikan dan latihan yang menyokong keperluan industri.

“Saya mengalu-alukan pelabur dari Jepun, China, negara ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan seluruh dunia untuk menjadikan Melaka sebagai pilihan utama bagi mengembangkan peluang perniagaan dan pelaburan dalam industri halal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

763
Kongsi :
Previous post MIHF 2026 BUKA MATA PENGUNJUNG KENALI PRODUK HALAL
Next post ANAK MUDA MELAYU BUKTIKAN BIDANG TEKNIKAL MAMPU PERGI JAUH