HLN 2026: MELAKA BANGUNKAN 6 PROJEK LANDSKAP DALAM DUA TAHUN

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PAYA TUMPUT 7 Ogos – Sebanyak enam projek landskap utama dilaksanakan di Melaka dalam tempoh dua tahun bagi memperkasa ruang hijau, rekreasi dan persekitaran yang lebih berkualiti untuk dinikmati rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tiga projek landskap dilaksanakan pada 2025, manakala tiga lagi projek Taman Rekreasi MADANI diteruskan tahun ini menerusi kerjasama erat Kerajaan Negeri bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Landskap Negara (JLN).

Menurutnya, tiga projek yang dilaksanakan pada 2025 ialah Pembangunan SDG Park @ Sungai Melaka, Pembangunan Taman Rekreasi Kampung Felda Air Kangkung dan Taman Kejiranan Pulai Indah.

“Lebih membanggakan, kesinambungan usaha ini diteruskan pada tahun 2026 menerusi tiga lagi projek Taman Rekreasi MADANI melibatkan Naik Taraf Landskap Dataran Sejarah Ayer Keroh, Naik Taraf Landskap di Lanai Seni, Ayer Keroh dan Naik Taraf Taman Rekreasi MADANI Bukit Beringin, Masjid Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.

Ab Rauf berkata, pelaksanaan enam projek berkenaan bukan sekadar bertujuan mencantikkan kawasan, sebaliknya memastikan ruang yang dibangunkan dapat dihidupkan, digunakan dan dinikmati masyarakat.

“Projek-projek ini bukan sekadar untuk mencantikkan kawasan. Kita mahu ruang-ruang ini hidup, digunakan dan dinikmati oleh rakyat.

“Apa yang lebih utama, kesemua inisiatif ini membuktikan bahawa kemajuan tidak hanya diukur pada pembangunan fizikal, tetapi juga melalui keupayaan kita memelihara ekosistem dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf merakamkan penghargaan kepada KPKT dan JLN atas kepercayaan memilih Melaka sebagai tuan rumah Sambutan Hari Landskap Negara buat julung kalinya.

Menurutnya, pemilihan Melaka bukan sekadar satu penghormatan, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan negeri ini menjadi pentas menghimpunkan kepakaran, inovasi dan komitmen dalam memperkasa landskap negara.

Beliau berkata, penganjuran berkenaan turut membuktikan eratnya jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka, KPKT dan JLN dalam memajukan sektor landskap demi kesejahteraan rakyat hari ini dan generasi mendatang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post KERJASAMA PERSEKUTUAN, MELAKA WAJAR JADI CONTOH – PM
Next post HLN 2026: MELAKA PACU PEMBANGUNAN TANPA KORBANKAN KHAZANAH ALAM