HLN 2026: MELAKA CIPTA REKOD HASILKAN 361 PERABOT DARI SISA KAYU

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 8 Ogos – Sebanyak 1,200 palet kayu terpakai berjaya ditransformasikan menjadi 361 unit perabot menerusi Program Kitar Semula Sisa Kayu Bagi Penghasilan Perabot Terbanyak, sekali gus melakar pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sempena Hari Landskap Negara (HLN) 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan bahan buangan mampu diberikan nilai baharu menerusi pendekatan kreatif dan inovatif, selain memperlihatkan komitmen Melaka dalam membangunkan landskap masa hadapan yang lebih lestari.

“Sebanyak 1,200 palet kayu terpakai berjaya diupayakan semula menjadi 361 unit perabot hasil penglibatan 300 sukarelawan daripada pemain industri perkayuan dan pelajar TVET seluruh negara.

“Alhamdulillah, inisiatif ini berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records, sekali gus membuktikan bahawa bahan buangan mampu diberikan nafas baharu dan ditransformasikan menjadi produk bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.

Menurut Ab Rauf, pencapaian tersebut menjadi antara manifestasi landskap masa hadapan Melaka yang bukan sahaja memelihara warisan dan khazanah alam, malah memanfaatkan teknologi serta menghubungkan komuniti.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut memastikan penganjuran HLN 2026 memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi penyediaan tapak perniagaan secara percuma kepada 63 peniaga dan pempamer sepanjang sambutan berkenaan.

Katanya, kemudahan itu disediakan menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan Jabatan Landskap Negara memilih Melaka sebagai tuan rumah sambutan berkenaan.

“Setiap acara bukan sekadar diraikan, tetapi mesti membawa limpahan manfaat dan membuka ruang rezeki kepada rakyat. Inilah wajah pentadbiran Melaka Sayang Rakyat yang kami perjuangkan di negeri bertuah Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1644
Kongsi :
Previous post HLN 2026: MELAKA ‘DIGITALKAN’ 70,753 POKOK