FESTIVAL SUNGAI MELAKA GAMATKAN JASIN HUJUNG MINGGU INI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

RIM 8 Ogos – Buat julung kalinya, Festival Sungai Melaka diperluaskan ke daerah Jasin dengan beberapa pengisian menarik bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSP), Shaharul Azuar Idris berkata, pemilihan Taman Ekstrem Tasik Chinchin sebagai lokasi festival amat bertepatan memandangkan kawasan berkenaan kini semakin berkembang dengan pelbagai tarikan rekreasi berasaskan air.

Jelas beliau, tasik berkenaan juga kini menawarkan pelayaran dengan Eco Cruise Tasik Chinchin sekali gus wajar untuk terus dipromosikan secara meluas sebagai destinasi pelancongan baharu.

Beliau memaklumkan, sempena Festival Sungai Melaka 2026 Edisi Daerah Jasin, beberapa pengisian menarik disediakan, antaranya pertandingan mewarna dan pertandingan Remote Control Power Boat.

“Sebanyak 100 buah bot kawalan jauh (RC Power Boat) daripada pelbagai negeri di seluruh Malaysia seperti Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Johor, Perlis, Kelantan telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan julung kali diadakan ini.

“Lebih menarik lagi acara ini turut menerima penyertaan dari luar negara iaitu dari Abu Dhabi, Singapura dan Thailand. Pertandingan ini berlangsung pada Sabtu dan Ahad, di mana buat pertama kali diadakan di Tasik Chin Chin sempena Festival Sungai Melaka 2026,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaharul Azuar, pemilihan Tasik Chin Chin sebagai salah satu lokasi jelajah festival turut memberi nilai tambah kepada usaha mengetengahkan lokasi rekreasi dan tarikan pelancongan di daerah Jasin.

“Festival ini bukan hanya tertumpu kepada Sungai Melaka, tetapi kita mahu membawa semangat dan kemeriahan festival ke lokasi-lokasi lain yang mempunyai potensi untuk diketengahkan.

“Jasin mempunyai pelbagai lokasi menarik dan Tasik Chin Chin adalah antara kawasan yang kita lihat mempunyai potensi untuk menjadi tarikan menerusi aktiviti seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post HLN 2026: MELAKA CIPTA REKOD HASILKAN 361 PERABOT DARI SISA KAYU