
‘KECIL-KECIL CILI PADI’, MPJ HARUMKAN NAMA MELAKA
PAYA RUMPUT 8 Ogos – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengharumkan nama Melaka apabila merangkul Anugerah Rosa-Sinensis Penarafan Taman Awam 2026 pada Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) Ke-27 Peringkat Kebangsaan 2026.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kejayaan itu membuktikan saiz sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan ukuran untuk mencipta kecemerlangan di peringkat kebangsaan.
Katanya, MPJ yang merupakan antara PBT terkecil di Melaka terus membuktikan kemampuan apabila konsisten menghasilkan landskap berkualiti sehingga berjaya menerima pelbagai pengiktirafan.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka MPJ sekali lagi berjaya mencipta kejutan, MPJ ini umpama kecil-kecil cili padi. Walaupun menjadi antara PBT yang kecil di Melaka, tetapi mereka sentiasa membuktikan kemampuan.
“Sebelum ini MPJ pernah memenangi Anugerah Bandar Bahagia dan sekali lagi berjaya meraih anugerah penarafan taman awam menerusi Taman Botani Parkland pada Hari Landskap Negara 2026. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara Tahun 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib; serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.
Mengulas lanjut, Rais berkata, kejayaan itu turut membuktikan kerjasama strategik antara PBT dengan sektor swasta mampu menghasilkan pembangunan landskap bertaraf tinggi yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Menurutnya, pengiktirafan diterima MPJ diharap menjadi pemangkin kepada semua PBT di Melaka untuk terus berinovasi serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya yakin kemenangan ini akan menyuntik semangat kepada semua PBT di negeri ini kerana Melaka sememangnya mempunyai rekod cemerlang dalam pelbagai anugerah.
“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) umpamanya telah menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi pengiktirafan ASEAN Clean City, manakala Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) juga berjaya meraih pelbagai anugerah sebelum ini.
“Insya-Allah saya yakin semua PBT di Melaka mampu terus menjadi PBT berprestasi tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

