MENARA TAMING SARI TERUS UNGGUL, DINOBAT ‘OBSERVATION TOWER’ TERBAIK

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 9 Ogos – Menara Taming Sari terus menjulang nama Melaka di pentas industri pelancongan apabila dinobatkan sebagai ‘Best Observation Tower Attraction’.

Pengiktirafan itu diterima pada Tourism Industry Awards 2026 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) yang berlangsung di Bandar Sunway, Selangor, malam tadi.

Ia sekali gus menjadi satu lagi pencapaian membanggakan industri pelancongan negeri bersejarah yang memiliki pelbagai produk pelancongan bertaraf dunia.

Anugerah itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan pada majlis penuh gilang-gemilang yang disertai penggiat industri pelancongan seluruh negara.

Majlis itu turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Menara Taming Sari dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha memartabatkan destinasi pelancongan berkenaan.

“Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan besar dan bukti komitmen berterusan seluruh warga kerja Menara Taming Sari dalam memberikan pengalaman terbaik, perkhidmatan berkualiti serta tarikan pelancongan bertaraf industri kepada para pengunjung.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong Menara Taming Sari. Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama,” kata kenyataan itu.

Menara Taming Sari yang terletak di Banda Hilir merupakan antara mercu pelancongan ikonik Melaka yang menawarkan pengalaman melihat panorama bandar bersejarah dari ketinggian 80 meter dan berputar 360 darjah.

Kejayaan berkenaan sekali gus mengukuhkan lagi imej Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terus berusaha menawarkan produk berkualiti dan pengalaman menarik bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selain Menara Taming Sari, Tourism Melaka turut meraih Anugerah Best Art & Culture Destination yang diterima oleh Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post ISU BANJIR TANGGA BATU DIBERI PERHATIAN, RM175 JUTA PROJEK MITIGASI DIGERAKKAN
Next post DARI KAMPUNG PULAU, KUIH BAKAR DAK SERUL LEBAR SAYAP DI MIHF 2026