
KERINGAT ‘ADIWIRA’ KEBERSIHAN MELAKA DIHARGAI
PAYA RUMPUT 9 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka terus menghargai jasa dan pengorbanan hampir 500 petugas kebersihan yang menjadi antara ‘wira tidak didendang’ dalam memastikan kebersihan serta keceriaan negeri itu sentiasa terpelihara.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, penghargaan itu dizahirkan menerusi Majlis Santuni Petugas Pembersihan Sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang menghimpunkan petugas daripada pelbagai sektor dan konsesi.
“Kita menghimpunkan hampir 500 orang pekerja kebersihan daripada pelbagai sektor termasuklah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
βPada masa sama, pekerja kebersihan daripada CMI Infra serta SWM Environment turut diraikan,β katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merasmikan Majlis Santuni Petugas Pembersihan Sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta Setiausaha MPAG Radzyma Mahat.
Rais yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa cakna terhadap jasa petugas kebersihan di negeri ini.
“Ini bukan kali pertama kita melaksanakan program sebegini. Tahun lalu kita turut mengadakan program yang sama dan tahun ini kita teruskan sebagai tanda penghargaan kepada hero-hero kebersihan yang selama ini banyak berjasa,β katanya.
Pada majlis itu, petugas kebersihan yang hadir turut menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan, selain turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk sebuah motosikal, jongkong emas (gold bar) serta barangan elektrik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

