EMPAT BULAN TERAKHIR 2026, KINI MASA BUKTIKAN HASIL – KM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Empat bulan terakhir sebelum 2026 melabuhkan tirainya perlu dimanfaatkan seluruh jentera pentadbiran negeri dan penjawat awam untuk mempercepatkan gerak kerja serta membuktikan hasil kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tempoh berkenaan menjadi fasa penting bagi memastikan setiap sasaran, peruntukan, projek dan aduan rakyat menghasilkan pencapaian serta penyelesaian yang nyata.

“Lebih tiga tahun kita membina asas. Lebih tiga tahun kita menetapkan arah. Lebih tiga tahun juga kita telah menggerakkan agenda. Maka, sekarang ialah fasa membuktikan hasil.

“Ini bukan lagi masa untuk kita berkata akan dilaksanakan. Rakyat mahu tahu; bila siap? Bukan lagi sekadar sedang dalam tindakan. Rakyat mahu tahu apa hasilnya?

“Bukan lagi cukup untuk kita mengatakan peruntukan telah diluluskan. Rakyat mahu melihat apa yang berubah dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Sehubungan itu, Ketua Menteri mahu seluruh jentera pentadbiran negeri bergerak dalam satu rentak dengan memastikan setiap sasaran mempunyai pencapaian, peruntukan menghasilkan manfaat, projek menunjukkan kemajuan dan aduan rakyat diselesaikan.

Menurutnya, penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, sebaliknya menjadi wajah kerajaan di mata rakyat yang menentukan tahap keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap pentadbiran negeri.

“Kalau perkhidmatan kita pantas, rakyat yakin kepada kerajaan. Kalau tindakan kita cekap, rakyat percaya kepada kerajaan. Kalau kita turun dan mendengar, rakyat akan merasakan kerajaan itu benar-benar hadir bersama mereka,” katanya.

Ab Rauf turut mengingatkan seluruh jentera pentadbiran negeri supaya tidak menangguhkan perkara yang boleh diselesaikan segera, terutama sepanjang baki empat bulan terakhir tahun ini.

“Sebab itu empat bulan yang berbaki ini, saya minta satu sahaja: jangan tunggu. Jangan tangguh. Jangan biarkan masalah yang boleh diselesaikan hari ini dibawa ke hari esok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post PENGANJURAN WTD, WTC 2025 UKIR KENANGAN ISTIMEWA – AZHAR
Next post MIHF’26 BANTU 8 USAHAWAN MAIM ‘NAIK KELAS’