
MIHF’26 BANTU 8 USAHAWAN MAIM ‘NAIK KELAS’
AYER KEROH 10 Ogos – Melaka International Halal Festival 2026 (MIHF’26) menjadi platform lapan usahawan asnaf bimbingan zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk ‘naik kelas’ menerusi peluang memperkenalkan produk, membina rangkaian dan meneroka pasaran baharu.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, penyertaan itu merupakan antara usaha berterusan pihaknya membantu golongan asnaf meningkatkan keupayaan ekonomi melalui bidang keusahawanan.
“Bersempena MIHF’26 ini, MAIM bawa lapan usahawan dalam kalangan asnaf dan mereka ini merupakan usahawan bimbingan zakat MAIM.
“Penyertaan ini juga merupakan salah satu pendekatan bagi membantu golongan asnaf meningkatkan keupayaan ekonomi menerusi bidang keusahawanan selain membantu mereka untuk keluar dari kepompong asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Melaka Halal International Festival 2026 (MIHF’26) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Sabtu.
Menurut Shaifulfazlee, sokongan MAIM kepada usahawan bimbingan zakat tidak terhad kepada bantuan kewangan, sebaliknya turut merangkumi penyediaan peralatan perniagaan, pembangunan ilmu keusahawanan serta bimbingan untuk mengembangkan operasi.
Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi membantu usahawan asnaf membina asas perniagaan yang lebih kukuh serta meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari dalam jangka panjang.
“Bantuan yang disalurkan bukan hanya tertumpu kepada sudut kewangan semata-mata, tetapi turut meliputi keperluan perniagaan seperti mesin, ilmu keusahawanan serta kaedah mengembangkan perniagaan.
“Langkah seterusnya adalah memastikan produk yang dihasilkan usahawan bimbingan zakat ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas agar mereka mampu berdikari,” katanya.
Dalam pada itu, Shaifulfazlee berkata, platform seperti MIHF’26 memberi nilai tambah kepada usahawan asnaf kerana mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, pemain industri dan bakal rakan niaga.
Katanya, pendedahan sedemikian dapat membantu mereka memperluas rangkaian perniagaan selain mengenal pasti peluang pasaran baharu yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


