
PENYERTAAN KARNIVAL MINGGU SAINS NEGARA MENINGKAT SETIAP TAHUN
DURIAN TUNGGAL 10 Ogos – Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara semakin menjadi perhatian apabila jumlah penyertaan yang direkodkan pada setiap tahun sentiasa menunjukkan peningkatan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, bagi penganjuran peringkat Zon Selatan tahun ini pula berjaya menghimpunkan kira-kira 6,000 peserta sepanjang dua hari karnival berlangsung.
Katanya, peningkatan jumlah penyertaan dianggap sebagai satu perkembangan amat baik memandangkan negara memerlukan lebih ramai bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada masa akan datang.
“Zon selatan melibatkan 6,000 peserta mewakili 50 sekolah dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, angka direkodkan setiap kali penganjuran mencerminkan kesedaran berhubung kepentingan melahirkan lebih ramai bakat-bakat STEM semakin meningkat.
“Semua ini adalah selaras dengan perkembangan semasa dan akan datang, memandangkan pelaburan yang kita lakukan sekarang lebih kepada sektor berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Selatan yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.
Menurut Lih Kang, kejayaan penganjuran karnival itu turut bergantung kepada kerjasama strategik antara pelbagai pihak terumatanya Kerajaan Negeri, institusi pengajian tinggi (IPT) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kerjasama strategik seperti dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka amat diperlukan dalam menjayakan program seperti penganjuran Karnival Minggu Sains Negara.
“Ini kerana kita mahu membawa pengetahuan dan ilmu sains, teknologi dan inovasi (STI) dapat disampaikan kesemua lapisan masyarakat termasuk mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


