TOK RAUF ZIARAH KELUARGA MENDIANG PELAKON, BALU MAHU TUNAI IMPIAN SUAMI

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

REMBIA 10 Ogos – Hasrat mendiang pelakon dan pelawak R. Ramasundran yang pernah membintangi sitkom Spanar Jaya untuk kembali menetap di Melaka dan membina rumah di negeri kelahirannya tidak sempat direalisasikan sebelum pemergiannya kira-kira lima tahun lalu.

Kini, isterinya, C Kamala, 55, berharap impian berkenaan dapat ditunaikan sebagai kenangan buat mendiang, selepas menyuarakan hasrat itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika menerima kunjungan pemimpin negeri itu di kediamannya di Jalan Keretapi Lama, Kampung Pengkalan, di sini, hari ini.

Kamala berkata, kunjungan Ketua Menteri sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia itu cukup bermakna dan mengundang rasa terharu buat dirinya sekeluarga.

“Saya ada meminta pertolongan daripada Ketua Menteri untuk memohon tanah bagi mendiang kerana dia memang mahu kembali ke Melaka dan membina rumah di sini, tetapi tidak sempat.

“Ketua Menteri juga menyatakan kesediaan untuk membantu dan meminta saya membuat permohonan memandangkan mendiang memang anak jati kampung ini. Jika permohonan tanah itu berjaya, saya mahu bina rumah untuk mendiang dan abadikannya sebagai kenangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, ziarah kasih itu turut disertai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan.

WhatsApp Image 2026 08 09 at 10.43.37 PM
KAMALA menunjukkan foto mendiang suaminya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, selain bergiat dalam bidang lakonan, mendiang suaminya turut aktif membantu masyarakat menerusi penglibatannya dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), khususnya ketika berlaku bencana banjir.

Menurutnya, mendiang tidak mempunyai sejarah penyakit serius dan masih aktif bekerja sebagai pelakon dan berkhidmat bersama APM sebelum meninggal dunia.

“Sebelum meninggal dunia, dia menjalani penggambaran di Cameron Highlands. Selepas pulang, kakinya bengkak dan saya membawanya ke hospital, namun suami disahkan meninggal dunia dan doktor ketika itu mengesyaki dia mempunyai masalah jantung,” katanya.

Mengulas mengenai perhatian yang diberikan Kerajaan Negeri dan wakil rakyat kepada keluarganya, Kamala berkata, dia dan keluarga amat menghargai kesudian pemimpin turun padang dan membantu masyarakat tanpa perlu menunggu mereka datang mengadu.

“Banyak yang dibantu. Kita tidak perlu minta pun, mereka sendiri datang memberikan bantuan dan melihat keadaan kita. Bagi saya, inilah pemimpin yang kita mahu. Sebelum kita pergi berjumpa mereka, mereka sudah datang sendiri berjumpa kita,” katanya.

Kamala turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan Fairul Nizam atas keprihatinan yang diberikan terhadap masyarakat India di kawasan berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih banyak kepada Tok Rauf dan YB Along (Fairul Nizam) kerana banyak membantu masyarakat India di kawasan ini. Kami sangat menghargai jasa mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post PENYERTAAN KARNIVAL MINGGU SAINS NEGARA MENINGKAT SETIAP TAHUN