KARNIVAL MINGGU SAINS NEGARA BAWA PENDEKATAN PEMBELAJARAN SECARA ‘HANDS-ON’

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Ogos – Pendekatan pembelajaran secara langsung yang dilaksanakan pada Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Selatan mampu menyemarakkan minat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pendekatan itu membolehkan pengunjung khususnya pelajar sekolah, mahasiswa dan belia mencuba sendiri teknologi, menjalankan eksperimen serta berinteraksi secara langsung.

Katanya, pengalaman secara langsung itu menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna, sekali gus membantu membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan seharian.

“Pendekatan pembelajaran secara ‘hands-on’ merupakan antara kekuatan utama Karnival Sains Negara 2026.

“Apabila masyarakat diberi peluang untuk mencuba sendiri teknologi, menjalankan eksperimen dan berinteraksi secara langsung dengan saintis, penyelidik serta pakar industri, pembelajaran menjadi lebih bermakna.

“Ia sekali gus dapat menyemarakkan minat terhadap bidang STEM dan membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Selatan, disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.

Menurut Fairul Nizam, karnival berkenaan merupakan satu daripada lima siri karnival zon yang dianjurkan di seluruh negara, selain menjadi ruang kepada rakyat untuk mendekati pelbagai teknologi dan inovasi hasil penyelidikan negara.

“Saya berharap Karnival Minggu Sains Negara ini akan menjadi platform yang membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kerajaan, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat dalam membangunkan penyelesaian berasaskan STI.

“Malah karnival ini juga diharap menjadi platform yang berkesan dalam menyemarakkan minat masyarakat khusus generasi muda dalam bidang STI,” katanya.

Jelas beliau, usaha bersama dilaksanakan itu juga akan terus memperkukuhkan lagi budaya STI sekali gus dapat melahirkan lebih ramai bakat STEM yang mampu memacu kemajuan negara pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post TOK RAUF ZIARAH KELUARGA MENDIANG PELAKON, BALU MAHU TUNAI IMPIAN SUAMI
Next post MIBC HARGAI WARGA KERJA, PERKUKUH JARINGAN PERNIAGAAN