MAIM ADA BUDI BICARA, SEDIA BANTU RAKYAT DALAM KESUSAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER MOLEK 13 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mempunyai budi bicara yang tinggi dalam membantu golongan asnaf mahupun mereka yang berdepan kesusahan, selagi permohonan yang dikemukakan mempunyai asas serta memenuhi keperluan ditetapkan.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, MAIM sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat dan bersedia mempertimbangkan bantuan berdasarkan keadaan serta keperluan setiap kes.

Menurutnya, prosedur yang ditetapkan bukan bertujuan menyukarkan pemohon, sebaliknya penting bagi memastikan bantuan daripada wang zakat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“MAIM sebenarnya sangat membantu daripada segi pelbagai bentuk bantuan. Cuma seperti agensi kerajaan lain, ada prosedur perlu dipatuhi.

“Secara rasionalnya, jika sesuatu kes itu tulen, memang ada asas dan ada keperluan, tidak ada masalah untuk mana-mana rakyat mendapatkan bantuan kerana budi bicara di peringkat MAIM sangat tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas sesi ziarah susulan bersama Bahagian Agihan Zakat MAIM ke kediaman Muhammad Ean Maleeq Mohd Faris, 3, di Taman Tiang Dua Mutiara, di sini, baru-baru ini.

Mohd Noor Helmy berkata, masyarakat juga perlu memahami bahawa setiap bantuan yang disalurkan MAIM melibatkan amanah wang zakat yang perlu diuruskan dengan penuh tatakelola.

Katanya, bagi kes membabitkan rawatan dan pembedahan, dokumen berkaitan seperti rekod perubatan, nota doktor, surat discaj serta keperluan bayaran perlu dikemukakan bagi membolehkan sesuatu permohonan dinilai dengan sewajarnya.

“Rakyat perlu faham bahawa kita berurusan dengan duit zakat. Amanah itu harus dijaga, bukan sahaja soal dunia tetapi perkara yang akan dipersoalkan di akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong memaklumkan, keprihatinan MAIM dapat dilihat menerusi bantuan yang disalurkan kepada keluarga adik Ean yang berdepan masalah jantung terbalik dan mengalami kekurangan dana bagi pembedahan membetulkan salur darah, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun permohonan itu diterima dalam tempoh masa singkat, MAIM bertindak pantas untuk membantu dengan memberi pra-kelulusan bagi bantuan am berjumlah RM5,000.

“Kes ini menunjukkan apabila ada keperluan dan asas yang jelas, MAIM sentiasa ada untuk membantu. Kita akan lihat apa yang boleh dibantu berdasarkan keadaan dan keperluan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post IKAN BAKAR TELOK MAS JADI FENOMENA
Next post RUMAH BAHARU JADI SIMBOL HARAPAN BUAT AMRAN SEKELUARGA