
MELAKA FC ANJUR KEJOHANAN EMPAT PENJURU SEMPENA ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG DI-PERTUA NEGERI
BANDA HILIR 14 Ogos – Melaka FC menyasarkan penganjuran The Governor’s 77th Anniversary International Quadrangular Football Tournament 2026 sebagai acara tahunan dan dimeriahkan lagi dengan penyertaan pasukan antarabangsa pada edisi akan datang.
Presiden Melaka FC Datuk Wira Dr. Azmi Ahmad berkata, kejohanan empat penjuru dianjurkan buat julung kalinya itu adalah bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-77 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Katanya, selepas mendapat kebenaran daripada Yang di-Pertua Negeri, pihaknya menjemput tiga kelab luar negara iaitu Jurong FC, Singapura; Persik Kediri, Indonesia dan PPCFC, Kemboja untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Kejohanan ini dianjurkan buat pertama kali sempena sambutan kelahiran Tuan Yang Terutama (TYT) dan selepas mendapat kebenaran daripada beliau, Melaka FC menjemput ketiga-tiga kelab berkenaan untuk mengambil bahagian.
“Kejohanan ini juga adalah satu ‘try run’ (percubaan) untuk Melaka FC dan kita cuba melakukan yang terbaik dalam menganjurkan pertandingan ini selain berharap pasukan yang datang gembira dengan segala fasiliti disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran The Governor’s 77th Anniversary International Quadrangular Football Tournament 2026 yang turut dihadiri Jurulatih Melaka FC E Elavarasan dan Ketua Pasukan Melaka FC, Khairul Fahmi Che Mat di Ujong Pasir, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar memberi pendedahan kepada Melaka FC untuk mengendalikan pertandingan bertaraf antarabangsa tetapi menjadi platform memperkukuh hubungan antara kelab dari rantau Asia Tenggara.
“Pastinya menerusi penganjuran julung kali ini kami berharap keseluruhan kejohanan dapat berlangsung dengan lancar dan menjadi asas kepada penganjuran edisi seterusnya dengan penyertaan lebih banyak pasukan.
“Menerusi kejohanan empat penjuru ini dengan Melaka FC sebagai tuan rumah ia merupakan antara usaha meningkatkan pendedahan serta pengalaman pasukan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Jelas beliau, pastinya peluang penganjuran ini tidak dapat direalisasikan tanpa peluang yang diberikan pihak berkaitan antaranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat akan membuka tirai pada esok dengan Melaka FC akan menentang Jurong FC.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


