
PENGALAMAN BUDAYA DI HUTAN PERCHA MEMORI INDAH BUAT PESERTA AARDO
MACHAP JAYA 15 Ogos – Aktiviti mengacau dodol, rewang sekampung, mengenakan busana Melayu dan mengenali adat perkahwinan masyarakat Melayu antara pengalaman dibawa pulang peserta Latihan Antarabangsa African-Asian Rural Development Organization (AARDO) yang berkampung di Felda Hutan Percha.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha Nizam Baharom berkata, sepanjang lima hari berada di kampung tersebut kesemua 22 delegasi dari 18 negara Afrika serta Asia terlibat dalam pelbagai aktiviti berasaskan kehidupan masyarakat kampung.
“Program ini bukan sekadar membawa peserta melihat tempat menarik di Melaka tetapi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri kehidupan masyarakat orang Melayu terutamanya.
“Dengan tinggal bersama-sama keluarga angkat mereka secara tidak langsung dapat berinteraksi dengan penduduk, mengetahui rutin harian, bahasa, pertuturan, makanan serta adat budaya masyarakat setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Program Latihan Antarabangsa ‘The Inclusive Rural And Regional Development In Malaysia’ (Majlis Perkahwinan) di Dewan Serbaguna Felda Hutan Percha, di sini, hari ini.
Menurut Nizam, lebih menarik lagi apabila peserta diberi peluang untuk melihat sendiri adat dan budaya perkahwinan masyarakat orang Melayu sepanjang majlis berlangsung.
“Ini antara pengisian yang diminta untuk kami sediakan kepada peserta dan kami membawa khas majlis perkahwinan untuk mereka lihat dan rasainya sendiri.
“Seperti kebiasaan majlis perkahwinan, kami membawakan kumpulan kompang, acara silat dan sesi tepung tawar pengantin. Peserta diberi peluang untuk naik ke pelamin dan melakukannya,” katanya.
Jelasnya, mewakili komuniti Felda Hutan Percha beliau mengucapkan terima kasih kepada Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) kerana memberi peluang ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

